KPKM ikrar tidak akan lindungi pihak terlibat dengan kartel padi dan beras
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengulangi ikrar untuk tidak melindungi mana-mana pihak yang terlibat dengan kartel padi dan beras di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohammad Sabu menegaskan, pihaknya juga tidak akan mencampuri sebarang urusan siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).
“KPKM tiada halangan dan sentiasa bersedia memberikan sebarang maklumat kepada MyCC pada bila-bila masa diperlukan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Isnin.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai persoalan kewujudan kartel padi dan beras oleh pihak media.
Ujar beliau, antara skop tugasan MyCC adalah menyiasat kewujudan kartel dalam ekonomi negara.
“Soalan ini saya sudah jawab beberapa kali pada media sebelum ini tapi mungkin mereka terlepas pandang.
“Semoga penjelasan ini dapat memberikan pencerahan pada semua,” katanya.
Pada Januari 2024, KPKM menafikan kewujudan kartel atau mafia yang didakwa terbabit dalam penentuan harga beras dan benih padi.
Pihaknya telah mengeluarkan 39,000 lesen dalam usaha memastikan tiada kartel atau mafia memonopoli industri padi dan beras negara.