Semasa

Menteri akan isytihar harta lepas format baharu siap – PMO

Kerajaan bersetuju pengisytiharan harta oleh anggota pentadbiran dikuatkuasakan semula setelah format baharu yang lebih komprehensif bagi pelaporan pengisytiharan harta ditambah baik.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO), perkara itu dicapai menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) Siri 17 Bil. 1 Tahun 2023 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis.

PMO dalam kenyataan sama turut menegaskan ekosistem tata kelola baik negara bakal diperkukuh melalui Pelan Tadbir Urus Baik Nasional (MyGovernance) sebagai panduan sektor awam berhubung pelaksanaan prinsip-prinsip tadbir urus baik bagi mempertingkat kebertanggungjawaban, ketelusan, kecekapan dan keberkesanan sistem pentadbiran kerajaan.

“Indeks Governans Malaysia dijadikan mekanisme pengukuran tahap tata kelola baik di negara ini, manakala kajian pengwujudan Akta Tata Kelola dilaksanakan bagi memastikan amalan tata kelola baik yang berkesan.

“Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) akan dibentangkan secara berkala di Mesyuarat Jemaah Menteri untuk tindakan susulan segera bermula LKAN tahun 2022 dengan format baharu lebih berstruktur supaya setiap isu dilaporkan dapat diambil tindakan lebih berkesan,” katanya kenyataan itu.
 
Sementara itu, PMO turut memaklumkan mesyuarat turut bersetuju agar peranan JKKMAR diperkasa dan dikenali sebagai Jawatankuasa Khas Kabinet Tata Kelola Nasional (JKKTN) yang akan dijadikan platform bagi menggalakkan amalan prinsip tata kelola baik termasuk dalam perancangan dan pembangunan dasar serta pelaksanaan inisiatif dan program oleh semua agensi di sektor awam.

“JKKTN juga diperkasa untuk meneliti isu-isu kelemahan tata kelola melibatkan badan berkanun termasuk Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), subsidiari dan entiti yang mempunyai kepentingan kerajaan.

“Had bilangan lembaga pengarah yang boleh dianggotai oleh seseorang penjawat awam melibatkan badan berkanun, subsidiari dan entiti yang mempunyai kepentingan kerajaan juga akan dikaji semula bagi meningkatkan keberkesanan peranan penjawat awam dalam lembaga pengarah,” katanya.

Mesyuarat yang diadakan semalam turut bersetuju supaya Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dibentangkan secara berkala di Mesyuarat Jemaah Menteri, bermula dengan laporan tahun 2022.

Langkah ini supaya setiap isu dilaporkan dapat diambil tindakan dengan lebih berkesan.

Related Articles

Back to top button