PM Anwar sertai program Madani Rakyat di Tapak Pesta Sungai Nibong esok
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyertai program MADANI Rakyat di Pulau Pinang selama tiga hari di Pesta Sungai Nibong esok (Ahad), sebagai memulakan jelajah MADANI di seluruh negara.
Program MADANI Rakyat dijangka diadakan di beberapa negeri di seluruh negara secara berperingkat.
Acara tiga hari di tapak pesta itu akan disertai pelbagai jentera kerajaan dalam menyebarkan enam nilai utama madani – kemampanan, kemakmuran, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.
Orang ramai dijangka menghadiri program itu terutama penduduk di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.
Anwar akan turut menghadiri jamuan rakyat di kawasan Parlimennya sebelum ini, Permatang Pauh.
Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil akan turut mengadakan program MADANI secara berasingan di SMKA (P) Al-Mashoor di George Town untuk golongan belia.
Selepas ini, program MADANI Rakyat akan diteruskan ke Zon Timur di Pahang (28-30 Jun), Zon Selatan di Johor (25-27 Julai) diikuti Sarawak (27-29 Sept).
Program MADANI Rakyat akan berakhir di Sabah pada 18 hingga 20 Okt depan.