Pemuda PH mahu taja Wan Fayhsal Kursus Kewangan Korporat 101 selepas gagal fahami isu BlackRock
Angkatan Muda Harapan menyatakan hasrat ingin menaja Ahli Parlimen Machang, Wan Fahysal Wan Ahmad Kamal mengenai Kewangan Korporat 101 menerusi satu kenyataan pada Ahad.
Menurut Ketua Penerangan Angkatan Muda Harapan merangkap Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Ammar Atan, kenyataan itu susulan Wan Fahysal tidak memahami konsep majoriti-minoriti dalam hal pegangan ekuiti korporat.
“Katanya ada beza pemilikan terus BlackRock dalam syarikat tersenarai tempatan dan pegangan tidak langsungnya dalam Malaysia Airport Holding Berhad (MAHBB) selepas penswastaan selesai.
“Hakikatnya, sama ada lima peratus atau 25 peratus pemilikan saham, ia tetap pegangan minoriti. Pemilik ekuiti minoriti tidak ada kuasa menentukan keputusan terakhir mana-mana syarikat.
“Dalam konteks MAHB, kerajaan akan memiliki 70 peratus. Pegangan ekuiti (bakal) oleh GIP adalah jauh lebih rendah. Undi 70 peratus kerajaan akan mengalahkan undi 25 peratus GIP.
“Paling penting, kerajaan akan terus memiliki golden share dalam MAHB. Bermakna kerajaan memiliki kuasa paling utama iaitu veto.
“Kesimpulannya, BlackRock sudah lama memiliki saham minoriti dalam syarikat-syarikat di Bursa Malaysia. Pegangan tidak langsung menerusi GIP dalam MAHB juga adalah sama,” ujarnya.
Tambahnya lagi, beliau sedia maklum dengan komitmen GIP yang telah dinyatakan sebelum ini di mana, BlackRock tidak akan campur tangan dalam pengurusan semasa GIP dan akan kekal dengan kuasa penuh terhadap hala tujunya meskipun BlackRock masih tidak menyelesaikan pembelian ekuitinya dalam GIP.
Justeru itu, Ammar turut menyatakan keputusan Khazanah Nasional berkerjasama dengan GIP tidak dipengaruhi oleh BlackRock.