Sukan

KPT sasar 35 pingat emas pada Sukan Universiti ASEAN 2024

Temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 yang membuka tirainya secara rasmi hari ini,yang turut disertai leh beberapa atlet berprofil tinggi negara dengan sasaran 35 pingat emas.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dilihat memberi keutamaan pada temasya yang berlangsung di Surabaya-Malang hingga 6 Julai itu.

Tiga ‘nama besar’ dari sukan olahraga dibawa iaitu pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter (m) lelaki, Muhammad Azeem Mohd Fahmi; pemegang rekod kebangsaan acara 400m lelaki, Umar Osman serta pemegang rekod kebangsaan acara 400m wanita, Shereen Samson Vallabouy.

Selain itu, pemegang rekod kebangsaan acara berpasukan compound lelaki, Mohamad Syafiq Md Ariffin turut menyertai AUG selain pemenang pingat emas di Sukan SEA 2023 iaitu atlet taekwondo, Muhammad Syafiq Zuber dan atlet karate, Shahmalarani Chandran.

Terdahulu, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, Malaysia bersedia untuk menjadi tuan rumah bagi penganjuran temasya AUG 2026.

Katanya, Jemaah Menteri telah meluluskan perkara tersebut namun keputusan akhir sama ada Malaysia dipilih untuk menjadi tuan rumah bagi temasya sukan dwitahunan itu akan ditentukan dalam mesyuarat teknikal Majlis Sukan Universiti ASEAN.

Mustapha berkata, penganjuran AUG 2026 di Malaysia juga berpotensi memberi peluang untuk negara membuat persediaan terbaik bagi menjadi tuan rumah bagi Sukan SEA 2027.

Related Articles

Back to top button