Semasa

PM mahu semua kementerian dan agensi k’jaan utamakan tatakelola, kebertanggungjawaban

Perdana Menteri mengarahkan semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan mengutamakan aspek pengurusan, tatakelola dan kebertanggungjawaban seperti yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata perkara itu telah disuarakan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada mesyuarat Kabinet yang dipengerusikannya pada Khamis.

“Perkara ini juga secara umumnya terpulang kepada menteri masing-masing yang berkait dengan institusi, agensi, jabatan yang diaudit untuk diambil tindakan susulan.

“Namun apa yang (menjadi) keutamaan Perdana Menteri adalah isu pengurusan atau tatakelola serta aspek kebertanggungjawaban dalam isu seperti yang dibangkitkan dalam LKAN,” kata Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan.

LKAN 2/2024 dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat pada Rabu antaranya melaporkan sembilan pengauditan membabitkan 11 kementerian.

BACA LAGI: KBS dan MyCC mantapkan tadbir urus, tatakelola pengurusan kewangan

Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, dilaporkan berkata pengauditan itu membabitkan kos keseluruhan program, projek atau aktiviti yang diaudit berjumlah RM41.97 bilion.

Pengauditan itu mendapati beberapa kelemahan dalam pelaksanaan yang berpunca daripada pelbagai faktor seperti kurang pemantauan atau penyeliaan oleh pihak berkaitan, ketiadaan penyelarasan antara agensi berkenaan, ketiadaan pangkalan data yang lengkap dan kelemahan dalam dasar mahupun prosedur kerja.

Related Articles

Back to top button