ekonomi

Perdagangan borong dan runcit Malaysia berkembang tahun ke tahun – DoSM

Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) pada Khamis memaklumkan Perdagangan borong dan runcit Malaysia berkembang 7.1 peratus dari tahun ke tahun.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin melalui satu kenyataan berkata peningkatan itu didorong oleh subsektor perdagangan runcit, yang menokok 8.7 peratus atau RM5.1 bilion kepada RM64.0 bilion.

Menurutnya, nilai jualan bulanan pada Mei 2024 telah mencatatkan nilai jualan sebanyak RM147.9 bilion, manakala perdagangan borong juga berkembang sebanyak 4.7 peratus atau RM2.9 bilion kepada RM65.1 bilion.

“Ini diikuti oleh kenderaan bermotor dengan kenaikan 10.5 peratus atau RM1.8 bilion kepada RM18.8 bilion.

“Bagi perbandingan bulanan, perdagangan borong serta runcit naik 2.0 peratus berbanding bulan sebelumnya, disokong oleh kenderaan bermotor dan perdagangan borong masing-masing sebanyak 8.8 peratus dan 2.0 peratus,” tambahnya

Melalui kenyataan tersebut Mohd Uzir turut memaklumkan, indeks jualan runcit secara dalam talian berkembang sebanyak 5.2 peratus dari tahun ke tahun menjelang Mei 2024 berbanding 4.3 peratus yang dicatatkan semasa April 2024.

Bagaimanapun bagi nilai pelarasan musim, indeks itu menyusut 4.7 peratus berbanding bulan sebelumnya.

BACA LAGI: Rancak semula ekonomi negara jadi keutamaan kerajaan – PM Anwar

“Dari segi indeks volum, perdagangan borong dan runcit bagi Mei 2024 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 5.7 peratus.

“‘Pengembangan ini disumbangkan oleh semua subsektor iaitu kenderaan bermotor (9.6 peratus), perdagangan runcit (6.8 peratus) dan perdagangan borong (3.4 peratus).

“Sebaliknya, bagi indeks volum pelarasan musim, ia jatuh 0.9 peratus bulan ke bulan,” katanya.

Related Articles

Back to top button