Semasa

Jaga bapa lumpuh, MARA bantu pasangan kembar sambung pengajian

Kisah hidup dilalui pasangan kembar daif yang terpaksa melupakan hasrat untuk menyambung pelajaran kerana terpaksa menjaga ayah yang lumpuh mendapat perhatian Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata pihaknya menawarkan pasangan itu tempat di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) dan akan diberikan elaun bulanan supaya mereka dapat meneruskan pengajian.

“Semalam, ramai tag saya berkenaan kisah pelajar kembar yang amat daif menjaga bapa lumpuh, bergantung RM750 duit kebajikan.

“Hari ini MARA tawarkan tempat di KPTM Kota Bharu beserta elaun bulanan,” katanya di media sosial.

Seorang pengguna Facebook sebelum itu berkongsi cerita mengenai pasangan kembar itu menjaga bapa mereka yang lumpuh sejak lima tahun lalu selepas mengalami kemalangan.

Zarina Nawawi melalui perkongsian itu mendakwa, pasangan kembar lelaki dan perempuan tersebut baru sahaja menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia dan masing-masing telah mendapat tawaran untuk menyambung pelajaran tetapi terpaksa ditolak.

Keluarga itu yang mempunyai enam orang anak bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM750 sebulan selain wang gaji yang diperoleh hasil pekerjaan anak sulung.

“Anak perempuan dapat Universiti Teknologi Mara sudah lepaskan tawaran nak bagi kembar yang lelaki peluang. Harga kemiskinan begitulah perlu pilih,” katanya.

BACA LAGI: Tabung Wakaf Mara Madani: PM Anwar setuju awalkan penyaluran dana

Difahamkan, remaja perempuan itu akan menyambung pengajiannya di Kolej Universiti Poly-Tech Mara, manakala pasangan kembarnya akan ke Politeknik Dungun pada 28 Julai ini.

Related Articles

Back to top button