Semasa

KPM selesai isu pendidikan secara sistematik, holistik sejajar peredaran masa

Kerajaan akan terus berusaha menangani isu pendidikan secara sistematik dan holistik sejajar peredaran masa.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, usaha itu akan dilaksana melalui Pelan Strategik Kementerian Pendidikan Malaysia (PSKPM) 2024 hingga 2030 yang mengandungi lima teras strategik.

Lima teras berkenaan adalah untuk meningkatkan akses dan kualiti pendidikan; mengukuhkan pendidikan digital; menambah baik kemudahan asas institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM); memperkasakan pengurusan sumber manusia dan mengislahkan sistem tatakelola dan akan dilaksana secara komprehensif bagi tempoh tujuh tahun akan datang.

“Lima teras strategik itu akan didukung 17 strategi, 66 program dan 82 petunjuk prestasi utama (KPI) yang dirangka untuk mencapai visi dan misi KPM.

“Ia membabitkan pendidikan berkualiti, insan terdidik, negara sejahtera dan melestarikan sistem pendidikan yang berkualiti untuk membangunkan potensi individu bagi memenuhi aspirasi negara.

“Pemantauan pelaksanaan pelan ini akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan setiap program dan inisiatif mencapai matlamat yang ditetapkan,” katanya.

Fadhlina berkata begitu pada ucapan di Perhimpunan Bulanan KPM di Putrajaya pada Isnin.

Pada majlis sama beliau turut melancarkan pelan strategik berkenaan dan penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi peringkat KPM.

BACA LAGI: KPM setuju 10 tuntutan Sarawak perkasa pendidikan negeri

Sementara itu beliau turut memaklumkan, dua jawatankuasa bakal dibentuk bagi memantau pelaksanaan PSKPM termasuk melalui Jawatankuasa Induk Pemantauan PSKPM.

Kedua-dua jawatankuasa ini masing-masing akan bersidang sekali dan dua kali setahun untuk memastikan pelaksanaan PSKPM lancar dan mencapai matlamat ditetapkan

“Jawatankuasa pertama akan dipengerusikan Ketua Setiausaha KPM, Datuk Ruji Ubi manakala yang kedua membabitkan Jawatankuasa Kerja Pemantauan PSKPM yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan), Datuk Wan Hashim Wan Rahim,” katanya.

Related Articles

Back to top button