Politik

Usul desak Anwar letak jawatan tindakan terdesak Pas – Nik Nazmi

Tindakan Pas menjadikan pentas muktamar parti itu untuk mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletak jawatan disifatkan sebagai gimik semata-mata.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, perkara itu membuktikan Pas kini dalam keadaan terdesak untuk mengekang peralihan sokongan komuniti Melayu yang semakin memihak kepada kerajaan.

“Cabaran dia ialah apabila (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dapat menjuarai. Contohnya, ke depan dalam isu Palestin dan mendapat penghormatan daripada banyak negara-negara Islam di peringkat alim ulama tempatan dan antarabangsa,” katanya ketika ditemui pada program ziarah kasih di Kluang pada Selasa.

Pada 12 September lalu Pemuda Pas meluluskan usul bagi mendesak Anwar meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri atau diturunkan dengan kadar segera.

Usul tersebut dibawa dan dibentangkan perwakilan Pemuda PAS Kawasan Tambun, Abdul Abidi Mohd Maznan pada muktamar parti itu di Temerloh yang kemudiannya dibahas dan diluluskan dengan sebulat suara.

Susulan itu Anwar ketika berucap dalam Himpunan Keadilan Suara Rakyat Suara Keramat: Dari Reformasi ke Malaysia Madani’ di Selangor, pada Jumaat lalu mencabar pembangkang membawa usul undi tidak percaya kepadanya sebagai Perdana Menteri pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

Sementara itu Nik Nazmi yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) melahirkan rasa hairan dengan usul dibawakan itu.

BACA LAGI: Martabat syiar Islam diperkukuh bawah Kerajaan MADANI melalui pendidikan

Pentas muktamar yang dianggap platform tertinggi parti Pas jelasnya patut digunakan untuk membicarakan dan mengetengahkan isu-isu yang dihadapi rakyat dan negara.

“Mereka tidak menyentuh sangat tentang soal periuk nasi rakyat. Tentang soal keutamaan rakyat tetapi mereka akan terus menggunakan gimik-gimik murahan seperti ini membakar sentimen kaum dan agama,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button