JPN ganti dokumen pengenalan diri percuma untuk mangsa banjir
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menawarkan perkhidmatan penggantian dokumen pengenalan diri seperti kad pengenalan dan sijil lahir tanpa denda kepada mangsa banjir.
Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkhidmatan itu merupakan komitmen kerajaan membantu golongan terjejas.
“Kalau mangsa banjir tidak sempat menyelamatkan dokumen pengenalan diri seperti sijil lahir atau MyKad (yang) hilang, rosak atau sebagainya, segera datang ke pejabat JPN untuk membuat penggantian selepas banjir selesai.
“Kalau ada yang terlibat (banjir) baru-baru ini, maklum (kepada pegawai terlibat) bahawa anda merupakan (antara) yang terlibat dengan banjir,” katanya menerusi video yang dimuat naik di akaun Facebooknya.
Melalui rakaman itu juga beliau menyampaikan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan peruntukan RM13 juta bagi bantuan pascabanjir di Kedah.
Pengumuman itu jelasnya mencerminkan komitmen Kerajaan Perpaduan menjaga kebajikan rakyat melebihi batasan politik.
Beliau sementara itu menasihati orang ramai untuk sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca, terutamanya menjelang musim tengkujuh yang lazimnya melanda Pantai Timur pada hujung tahun.
BACA LAGI: Agensi berkaitan dalam mod siap siaga hadapi Monsun Timur Laut
“Berpindah (jika diarahkan) tepat pada masanya dan tanpa berlengah. Beri kerjasama (kepada pihak berkuasa) dan sentiasa jaga keselamatan diri dan keluarga,” tambahnya.
Sebagai rekod, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan Monsun Timur Laut bermula pada November depan dan berterusan sehingga Mac 2025, dengan ramalan empat hingga enam episod hujan lebat berterusan sepanjang tempoh itu.