Semasa

Dr Wan Azizah pencetus idea pindaan RUU berkaitan kewarganegaraan – Saifuddin

Pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan mengenai kewarganegaraan sebenarnya adalah hasil cetusan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan bahawa pindaan terhadap Rang Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan mengenai kewarganegaraan adalah hasil cetusan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menerusi satu perkongsian di laman Facebooknya pada Ahad Saifuddin berkata, Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika itu melihat kesusahan yang dialami oleh wanita warganegara yang berkahwin dengan orang asing dan melahirkan anak di luar negara yang berdepan masalah mendapatkan kewarganegaraan Malaysia untuk anak mereka.

Idea pindaan itu telah diusulkan kepada Menteri Dalam Negeri (KDN) ketika itu namun cadangan tersebut tidak dipandang serius.

“Tangan yang menggoncang buaian mampu menggoncang dunia bukan sekadar ucapan klise tetapi memberi gambaran sebenar kekuatan kepimpinan kaum wanita,” katanya.

Hantaran itu menyusul kehadirannya ke Kem Pemantapan Organisasi Wanita KEADILAN.

Sebagai rekod, Dewan Rakyat pada 17 Oktober lalu melakar sejarah apabila Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan diluluskan dengan sokongan lebih dua pertiga.

Keputusan tersebut memberi kelegaan kepada ramai pihak termasuk anak yang dilahirkan di luar negara, yang sebelum ini hanya layak mendapat kewarganegaraan jika bapanya seorang warganegara.

BACA LAGI: Pindaan perlembagaan berkaitan kewarganegaraan diluluskan dengan undi besar

Sementara itu sebagai mengulas kehadirannya ke kem yang dianjurkan, Saifuddin berkata beliau berkongsi pengalaman dan perjuangannya sepanjang bersama parti itu.

“Sejak penubuhan KEADILAN sehingga kini, saya telah berkhidmat sebagai Setiausaha Agung di bawah 2 kepimpinan hebat iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah.

“Dr Wan Azizah atau lebih mesra dikenali dengan panggilan Kak Wan adalah pemimpin yang unik dan amat saya hormati,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button