Malaysia kecam pelan Israel mahu ambil alih Gaza

PETALING JAYA: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya rancangan rejim haram Israel untuk mengambil alih semenanjung Gaza menerusi operasi ketenteraan dalam Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berlangsung di Jeddah, pada Isnin.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohammad Hasan menyifatkan bahawa rancangan negara haram itu merupakan agenda penjajahan yang berterusan ke atas Palestin malah ia cubaan menafikan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib mereka sendiri.
Mohammad Hasan turut menzahirkan keprihatinan beliau terhadap krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza, sehinggakan kadar berlakunya peningkatan kematian tinggi dan pengisytiharan kebuluran di wilayah berkenaan.
“Menteri luar turut menggesa Negara-Negara OIC agar terus lantang bersuara dan bertindak tegas bagi mencapai keamanan dan keadilan untuk Palestin,” katanya di satu kenyataan di Wisma Putra pada Selasa.
Difahamkan, mesyuarat tersebut telah sebulat suara menerima pakai satu resolusi bertajuk “Sesi Luar Biasa ke-21 Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri Negara-Negara Anggota Pertubuhan Kerjasama Islam bagi Membincangkan Pencerobohan Berterusan Israel terhadap Rakyat Palestin.”
Di samping mesyuarat itu,beliau turut mengadakan beberapa pertemuan dua hala bersama rakan sejawat dari Algeria, Iran, Kuwait, Mesir, Pakistan dan Qatar bagi membincangkan pengukuhan hubungan dua hala serta isu-isu semasa berkaitan Palestin.