Fahmi Gesa Tindakan Tegas Halang Kanak-Kanak Akses TikTok

PETALING JAYA: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menggesa agar langkah konkrit diambil untuk menghalang kanak-kanak bawah umur daripada mengakses aplikasi TikTok, demi melindungi mereka daripada kandungan yang tidak sesuai dan berisiko.
Gesaan itu dibuat susulan mesyuarat bersama wakil TikTok, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Jabatan Peguam Negara di Bukit Aman, pada Khamis.
Menurut Fahmi, antara pelanggaran ketara yang dikenal pasti di platform media sosial termasuk TikTok ialah kewujudan pengguna bawah umur yang jelas menyalahi garis panduan komuniti.
“Semakan mendapati sistem sedia ada gagal menyekat pengguna bawah umur.
“Malah, ramai murid sekolah rendah seawal tahun satu sudah ada akaun TikTok walaupun syarat platform itu melarang mereka bawah 13 tahun,” katanya.
Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar dan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Fahmi berkata, TikTok perlu merangka langkah jelas untuk mengesahkan umur pengguna termasuk menerusi sistem ‘electronic Know Your Customer’ (e-KYC) atau mengehadkan akses kepada fungsi tertentu seperti komen dan perkongsian video sehingga identiti disahkan.
“Negara seperti Singapura, Australia dan China sudah guna kaedah ini.
“Kalau tiada pengesahan, beberapa ciri disekat. Kita beri masa kepada TikTok tentukan tindakan mereka,” katanya.
Mesyuarat itu turut menyentuh kerjasama antara TikTok dan pihak berkuasa dalam membanteras penyebaran berita palsu termasuk video tular individu menyamar sebagai pakar bedah dalam kes Zara Qairina Mahathir baru-baru ini.
Sebelum ini, pihak berkuasa turut mengesan kandungan tidak bermoral termasuk berunsur pedofilia menerusi Op Pedo yang mendedahkan kewujudan kumpulan dalam WhatsApp dan Facebook seperti ‘Geng Budak Sekolah’.
“Kami dapati ada platform tidak serius tangani isu ini.
“Dialog akan diteruskan dan kami tegaskan undang-undang Malaysia tetap terpakai serta wajib dipatuhi. Semua platform akan dipanggil,” tambah beliau.



