Anwar

Hari Pekerja: Kerajaan Madani terus pilih kerja selesai masalah rakyat – AMANAH

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Kerajaan Madani secara terus dilihat giat berusaha meningkatkan taraf hidup pekerja negara melalui pelbagai inisiatif termasuk kenaikan gaji minimum, perluasan perlindungan sosial, pemerkasaan TVET, bantuan kepada PMKS dan usaha menarik pelaburan berkualiti tinggi bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

Menerusi kenyataan media oleh Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar pada Jumaat, pihaknya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Kerajaan MADANI yang terus memilih untuk bekerja dan menyelesaikan masalah rakyat, bukan sekadar mencipta persepsi politik sepanjang masa.

“Sudah tentu masih banyak yang perlu diperbaiki.

“Namun dalam keadaan ekonomi dunia yang sangat mencabar, kerajaan tetap berusaha memastikan kebajikan pekerja terus diberikan perhatian,” katanya.

Mahfuz menegaskan ketika mana dunia berdepan krisis tenaga, ketidaktentuan geopolitik dan tekanan ekonomi global, pekerja Malaysia sekali lagi membuktikan ketabahan mereka.

“Dalam keadaan mencabar, mereka terus bekerja, berkorban dan mempertahankan kestabilan ekonomi negara.

“Malah dalam suasana dunia yang tidak menentu, para pekerja memainkan peranan besar membantu negara mengurus cabaran kos tenaga, memastikan sektor makanan, pengangkutan, pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan terus berjalan,” katanya.

Justeru katanya,masa depan negara tidak boleh dibina dengan kebencian, fitnah dan politik melampau.

“Malaysia memerlukan kestabilan, perpaduan dan budaya kerja yang kuat untuk terus maju.

“Akhir sekali, kepada seluruh pekerja Malaysia, terima kasih atas pengorbanan anda.

“Terima kasih kerana terus kuat menghadapi cabaran.

“Terima kasih kerana terus menjadi tulang belakang negara.

“Selagi pekerja Malaysia mempunyai semangat dan kekuatan, selagi itu negara ini akan terus berdiri teguh.”“Selamat Menyambut Hari Pekerja 2026,” ujarnya.

Related Articles

Back to top button