Amirudin bakal kemuka cadangan tambah jajaran keretapi di Selangor
Kerajaan Selangor merancang untuk membawa cadangan penambahan jajaran keretapi dari daerah Klang ke bahagian utara negeri itu kepada Kerajaan Persekutuan.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata cadangan penting bukan sahaja bagi memendekkan perjalanan ke utara Selangor berbanding laluan jalan raya, tetapi juga akan memberi limpahan ekonomi di sekitar kawasan yang terlibat.
Justeru kerjasama yang erat antara kerajaan negeri dan Pusat diperlukan dalam merealisasikan pelan itu, dan pertemuan segera dengan Kementerian Pengangkutan akan diadakan bagi membincangkan perkara berkaitan sebaik Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor selesai pada 12 Ogos nanti.
“Dari Klang ke Kuala Selangor akan ambil jarak jajaran dalam 20 kilometer (km) ke 30 km dan isu yang dibincangkan nanti adalah melibatkan tanah rezab, jajaran serta kos.
“Kita tidak mahu membebankan kerajaan Persekutuan, kita bagi selesai dahulu membabitkan Projek Laluan Lingkaran T ransit Aliran Massa 3 (MRT3), Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang dijangka siap 2025 hingga 2027,” katanya.
Amirudin ketika membentangkan Tawaran Kita Selangor oleh Pakatan Harapan dan Barisan Nasional Isnin lepas berjanji untuk mewujudkan Jajaran Kita Selangor yang menghubungkan perkhidmatan rel di Klang ke Kuala Selangor, Tanjong Karang, dan Sabak Bernam.
Selain itu, ia juga akan menghubungkan jajaran rel di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Tanjong Sepat dan Sungai Pelek agar Wilayah Pantai Barat Selangor menjadi Koridor Perkhidmatan Rel.