Kertas cadangan penyelarasan pencen ATM dibawakan kepada perhatian PM
Kementerian Pertahanan telah membawa kertas cadangan penyelarasan pencen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khusus bagi anggota yang bersara pada 2013 dan sebelumnya untuk perhatian Jawatankuasa Kabinet dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata langkah itu kerana terdapat anomali dalam struktur pencen bagi golongan itu selepas penyelarasan gaji pada 2013.
“Ini menjadi isu kerana pada 2013, ada penyelarasan gaji dibuat tetapi pencen ATM tidak diselaraskan.
“Ini menjadi masalah dan punca kepada kegelisahan anggota tentera veteran yang berpencen pada 2013 dan sebelumnya.
“Kita harap penyelarasan pencen ini diberikan perhatian, anggota yang pencen selepas 2013 tidak ada masalah,” katanya kepada pemberita di Rembau semalam.
Beliau sementara itu berharap penyelarasan pencen veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dapat dilaksanakan pada tahun depan.
Pada 12 Julai lalu, Perdana Menteri mengumumkan bahawa pencen terbitan untuk pesara kerajaan bagi Julai hingga Disember 2023 dibayar menggunakan amaun pencen asal.
Keputusan itu selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 27 Jun lalu, yang memutuskan bahawa Seksyen 3 dan 7 Akta Penyelarasan Pencen (Pindaan) 2013 [Akta A1447] adalah tidak sah dan undang-undang sebelum pindaan adalah terpakai dengan sendirinya bagi tujuan penyelarasan pencen.
Susulan itu jelasnya, perbezaan amaun pencen semasa dengan amaun pencen asal terus dibayar dalam bentuk bantuan khas yang dinamakan Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP) bagi menjadikan amaun yang diterima oleh pesara sama seperti amaun pencen semasa iaitu amaun pencen pada Jun 2023.