Johor mahu jayakan agenda pembangunan mampan
Kerajaan Negeri Johor berazam menjayakan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) demi menjadikanJohor sebuah negeri maju dan mampan.
Jelas Menteri Besar, penganjuran Sidang Kemuncak SDG Malaysia 2023 Wilayah Selatan di negeri ini merupakan inisiatif menggalakkan pembangunan mampan oleh kerajaan negeri, rakan perniagaan dan komuniti.
“Kerajaan Johor amat berbangga menjadi tuan rumah pertama penganjuran sidang kemuncak ini. Saya mengucapkan terima kasih atas penghormatan dan kepercayaan yang diberikan oleh Kementerian Ekonomi yang memilih Johor.
“Negeri Johor berada di lokasi yang sangat strategik iaitu berdekatan dengan Singapura serta menjadi pusat tumpuan di dalam sektor pelancongan dan ekonomi di rantau ini,” kata Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi satu kenyataan.
Onn Hafiz berkata, persidangan selama dua hari itu menarik lebih 400 peserta profesional dan pakar dari dalam dan luar negara.
“Disebabkan keyakinan dan kepercayaan para pemain industri kepada Johor, kita (juga) telah dipilih untuk menjadi tuan rumah Minggu Iklim Asia-Pasifik (APWC) 2023 pada November depan.
“Perancangan dan persediaan Malaysia berdepan isu pencemaran, banjir selain alam sekitar, sosial dan tadbir urus akan dibicarakan dalam konvensyen tersebut,” katanya dipetik.