PM Anwar akan jawab isu DNAA Zahid di Dewan Rakyat esok
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjawab mengenai isu keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA), Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Rakyat, esok.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Anwar berkemungkinan akan menjawab di Dewan Rakyat pada 2.30 petang.
“Adakah Perdana Menteri akan menjawab? Tuan punya badan (Anwar) ada di sini. Dia buat (tanda) good (bagus) itu dia jawab esok. Insya-Allah, 2.30 hingga 3.30 petang.
“Soalan-soalan itu YB (Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Seri Takiyuddin Hassan) boleh tanya. Tetapi komitmen daripada kerajaan hari ini, kita akan akan berlaku adil,” katanya ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.
Azalina berkata demikian ketika menjawab soalan Takiyuddin adakah Anwar akan menjawab isu DNAA Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram milik Yayasan Akalbudi di Dewan Rakyat.
Minggu lalu, Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) mencadangkan agar Anwar menjawab sendiri keputusan DNAA Ahmad Zahid.