Semasa

Sistem pertahanan siber negara berada dalam tahap keselamatan tertinggi

Sistem pertahanan siber negara berada pada tahap tertinggi dan terkawal dan mampu berdepan apa-apa cubaan serangan.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 peringkat Kementerian Pertahanan di Dewan Negara pada Isnin berkata, kerajaan melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meletakkan keseluruhan sistem komunikasi strategik ATM dalam satu rangkaian terselamat dan tidak mempunyai sambungan dengan rantaian internet luar.

“Sistem pertahanan negara sentiasa berada pada tahap keselamatan tertinggi dan dikawal selia oleh Pusat Pemantauan Pertahanan Siber, Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) ATM.

“Dengan langkah berstrategik termasuk tiada sambungan rantaian internet luar, serangan siber ke atas sistem pertahanan negara pada masa ini berada dalam keadaan terkawal,” katanya .

Sementara itu tambah Adly, bagi sistem yang memerlukan sambungan internet terutama berkaitan hal-hal pentadbiran, BSEP ATM memantau rapat sebarang aktiviti mencurigakan dengan BSEP sentiasa bersiap siaga mendepani sebarang bentuk kemungkinan serangan siber terkini.

Usaha menangani serangan siber dalam bentuk pancingan data (phishing) dan serangan perisian (ransomware) turut diperkukuh dengan beberapa langkah proaktif, termasuk menjalin kerjasama dua hala dan pelbagai hala serta perkongsian maklumat ancaman siber dengan negara luar selain mewujdukan BSEP ATM.

“Kita juga merancang untuk menubuhkan Pusat Pemerintahan Siber ATM bagi mewujudkan angkatan siber yang berkredibiliti, berteknologi tinggi dan berkepakaran dalam mendepani ancaman global,” katanya

Related Articles

Back to top button