Global

Malaysia guna pendekatan diplomatik selesai isu jerebu rentas sempadan- Nik Nazmi

Kerajaan bakal menguna pakai platform kerajaan kepada kerajaan (G2G), diplomasi dan ASEAN dalam mencari penyelesaian kepada isu jerebu rentas sempadan.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad ketika mengulas penafian Kerajaan Indonesia bahawa jerebu yang melanda ketika ini berpunca dari negara itu berkata, data yang diperolehi dari Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menunjukkan wujud aktiviti pembakaran di negara tersebut.

“Kita tentu berdasarkan data-data kita perolehi menerusi JAS dan MetMalaysia di bawah NRECC, saya tidak mahu memanjangkan perkara itu, tapi kita merujuk kepada data tersebut.

“Sebelum ini kita kata ini adalah kes dalam negara, tapi kali ini data yang kita terima bahawa ada pembakaran di luar (Malaysia),” katanya.

Mengulas lanjur beliau berkata, selain menggunakan platform diplomasi, kerajaan juga akan melihat keperluan untuk memperbaiki perjanjian yang telah dicapai sebelum ini selari perkembangan semasa.

“Kita akan menggunakan peluang diplomasi dan ASEAN sebagai kerangka untuk kita bertindak dalam mengatasi jerebu rentas sempadan ini. Ia termasuk melihat keperluan untuk meningkatkan perjanjian yang sudah ditandatangani serta perlu diperbaiki dengan perkembangan semasa.

“Kita akan mengkaji perkara tersebut sebab kita faham (kerana) ia memberi kesan kepada kesihatan rakyat di ASEAN ini. Bila berlakunya jerebu rentas sempadan dan rakyat mahukan sesuatu keadaan yang lebih baik,” katanya sambil menjelaskan kementeriannya juga akan mengadakan perbincangan Kementerian Luar Negeri untuk melihat langkah seterusnya yang terbaik dalam menangani masalah itu.

Pada 2013, Malaysia, Singapura dan negara anggota Asean yang lain telah membangkitkan kebimbangan mengenai bahaya “migrasi” jerebu saban tahun dari Indonesia ke negara-negara jiran.

Indonesia ialah satu-satunya negara anggota Asean yang tidak menandatangani perjanjian itu yang dikuatkuasakan pada November 2003, walaupun negara itu adalah “penyumbang terbesar” masalah jerebu merentas sempadan.

Related Articles

Back to top button