Belanjawan 2024: Kerajaan Perpaduan mampu memperbetulkan kepincangan struktur fiskal negara
Kestabilan dan iltizam politik yang dimiliki Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat peluang terbaik agar kepincangan struktur fiskal dapat diatasi.
Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, BIMB Securities, Rosnani Rasul, Belanjawan 2024 adalah penting kerana ia adalah perbelanjaan Kerajaan Perpaduan yang pertama sejak mengambil alih pentadbiran pada hujung tahun lalu.
Dengan komitmen kerajaan untuk memperbetulkan keadaan defisit fiskal kerajaan, katanya, perbelanjaaan tahun ini amat penting kerana ini akan memastikan impaknya bukan untuk tahun depan tetapi tahun-tahun mendatang.
“Kalau kita membiarkan subsidi ini beterusan dan semua orang dapat, ia akan menyebabkan impak yang besar kepada keadaan fiskal. Lebih-lebih lagi apabila terdapat krisis dunia.
“Jadi kita terpaksa meminjam dan akibatnya kos pembangunan itu terpaksa dikurangkan. Ini adalah hala tuju Malaysia yang dinilai pelabur.
“Kalau kita lihat Indonesia, Indonesia sudah memotong subsidi kerajaan begitu besar sekali, sekarang fiskal Indonesia adalah seimbang.” kata beliau dalam dalam temubual bersama Buletin Tv3.
Meskipun kerajaan kini berusaha untuk menurunkan subsidi dan hasilnya nampak impak pelabur asing sedang masuk dalam pasaran kewangan Malaysia. Namun katanya, akan ada impak pada penggunaan swasta.
“Ia akan ada impak tetapi apabila kita menurunkan fiskal ke arah seimbang, pelabur akan masuk. Kita akan melihat pelabur asing akan terus masuk ke Malaysia sepertimana tahun 1980-an, 1990-an apabila pelabur aisng begitu hebat masuk ke dalam negara.
“Kita ingin lihat kerana itulah yang akan membuka syarikat, buka peluang pekerjaan. Itu penting untuk negara,” katanya lagi.
Negara pernah mencapai fiskal seimbang dari tahun 1993 hingga 1997 sebelum krisis ekonomi berlaku pada 1998.
Sejak itu, Malaysia terus mengalami fiskal defisit meskipun wujud trend penurunan namun ia kembali meningkat apabila negara dilanda Covid-19.