KPM anjur Minggu Solidariti Palestin, pupuk nilai kemanusiaan dan keamanan
Kementerian Pendidikan (KPM) akan menganjurkan Minggu Solidariti Palestin bermula Isnin hadapan sebagai satu bentuk solidariti terhadap nilai kemanusiaan yang mementingkan kedamaian dan keamanan sejagat.
Melalui satu kenyataan pada Khamis, KPM berkata program itu akan melibatkan semua institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan iaitu sekolah, Kolej Vokasional, Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru seluruh negara yang bertujuan mendidik murid-murid nilai manusiawi yang turut merangkumi asasi manusia dan sifat ihsan.
Diadakan selama 6 hari sehingga 3 November ini, program itu bakal menerapkan sikap simpati dan keprihatinan terhadap penderitaan yang dialami individu lain tanpa mengira bangsa, agama atau status sosial.
Pelbagai aktiviti akan dilaksanakan sepanjang program ini dan akan disesuaikan berdasarkan kepada garis panduan sedia ada, sekolah dan kumpulan murid terlibat manakala aktiviti kerohanian seperti solat hajat dan bermunajat hanya akan melibatkan murid-murid beragama Islam sahaja.
“Minggu Solidariti Palestin adalah kesinambungan penerapan nilai-nilai murni yang berteraskan sikap hormat-menghormati, kasih sayang, bertanggungjawab dan kegembiraan seperti yang terkandung dalam pendidikan sivik di sekolah.
“Selain itu, menerusi penganjuran program ini murid-murid turut diberi pendedahan kepada Elemen Merentas Kurikulum (EMK) khususnya yang berkaitan dengan kelestarian global,” kata kenyataan tersebut.
Terdahulu, KPM memaklumkan pihaknya menyahut pendirian kerajaan Malaysia untuk terus bersama-sama mempertahankan hak dan kebebasan rakyat Palestin.
Dalam masa sama katanya, kemajuan teknologi media dan komunikasi pada hari ini menyebabkan murid-murid terdedah kepada pelbagai jenis kandungan termasuk yang berkaitan dengan konflik antarabangsa dan krisis kemanusiaan.
“Pelaksanaan intervensi diperlukan untuk memberi pencerahan kepada murid-murid berkenaan perkara ini,” katanya