Pas galak bina naratif jahat kerana bimbang Islam makin subur dibawah Kerajaan Perpaduan
Tindakan pemimpin Pas yang semakin galak memainkan naratif Islam terancam adalah berpunca dari kebimbangan mereka terhadap kejayaan Kerajaan Perpaduan menyuburkan Islam di negara ini.
Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, di bawah pantadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim, syiar Islam disemarakkan dengan pelbagai lagi agenda baharu pendidikan Islam seperti pra tahfiz di semua lebih 10,000 Tabika Kemas dengan sasaran 140,000 huffaz cilik pada 2026.
“Malah semua 57 buah MRSM melibatkan 37,000 pelajar beraliran sains diarahkan untuk menggunakan sistem integrasi sains dan tahfiz yang dikenali sebagai Ulul Albab bagi melahirkan profesional huffaz,” kata Mohd Khairuddin yang juga Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri 1.
Berbanding kerajaan terdahulu, Anwar juga jelasnya sudah mengembalikan peruntukan untuk Sekolah Agama Rakyat (SAR) setelah sekian lama dikuburkan oleh Penasihat SG4 Perikatan Nasional, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Di mata dunia, Malaysia di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjuarai isu Palestin di pentas antarabangsa sepertimana ucapan tegas beliau ketika sepentas dengan Presiden Rusia dan China. Rakyat Palestin memberikan penghormatan besar atas usaha beliau yang sangat bermakna itu ke arah Palestin Merdeka,” tambahnya
Khairuddin turut menegaskan, komitmen Islam Perdana Menteri dalam Kerajaan Perpaduan turut diperakui oleh tokoh-tokoh ulama dunia termasuk Syeikh Al-Azhar, Profesor Dr Ahmad Tayyib dan Syeikh Profesor Dr Ali Qaradaghi, Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia.
“Malah Syeikh Dr Ali sendiri berpesan kepada saya bukan sekali untuk terus mendokong usaha-usaha Islam Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Khairudin sementara itu membidas kenyataan beberapa pemimpin Pas termasuk Presidennya,Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa bukan Islam ‘naik kepala’ termasuk kenyataan mereka menunggang isu pensijilan halal sebagai modal politik.
Dakwaan kononnya kerajaan lemah terbukti tidak benar kerana dalam isu tersebut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri segera menegur pandangan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok.
“Pimpinan Pemuda UMNO juga tidak ketinggalan. Pihak berkuasa juga segera menyiasat Teresa atas nama 3R (raja, agama, kaum)
“Saya sendiri turut memberikan pandangan dalam isu mewajibkan persijilan halal kepada pengusaha makanan bukan Muslim sebagai respons pada pandangan Teresa,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
BACA LAGI: Bukan Islam di Malaysia tidak boleh dilabel kafir harbi – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Mohd Khairuddin menambah, pada Oktober lalu, Kerajaan Perpaduan melaksana pembaharuan dalam aspek teknikal permohonan sijil halal apabila ia dipermudah dengan proses permohonan disingkatkan hanya dalam tempoh 23 hari bekerja.
“Malaysia sangat ke hadapan dalam isu halal malah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri mempengerusikan jawatankuasa Kabinet untuk isu persijilan halal,” katanya.