Pemberian tunai e-kredit didik rakyat tentang ekonomi digital
Langkah kerajaan memberi kredit e-tunai RM100 kepada lebih 10 juta rakyat berpendapatan RM100,000 setahun dan ke bawah merupakan sebahagian daripada usaha untuk mendidik masyarakat berdepan dengan ekonomi digita tanpa tunai pada masa depan.
Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan ketika mengulas inisaitif yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat pada khamis berkata beberapa isu perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum inisiatif itu dapat dimulakan.
Ini kerana jelasnya, kira-kira 30 peratus daripada jumlah penerima e-tunai tersebut kemungkinan akan berdepan kesukaran untuk menerima bantuan itu kerana tidak mempunyai akses kepada sistem yang berkenaan.
“Jadi kita minta supaya para pemimpin setempat berusaha untuk membantu semua golongan mendapatkan e-tunai itu, sebagai contoh ketua kampung dan penghulu, untuk mengajar rakyat yang tidak begitu celik dengan teknologi, kerana ini satu proses (pembelajaran),” katanya
Ahmad Maslan berkata begitu kepada pemberita ketika ditemui selepas satu majlis di Shah Alam.
Anwar yang juga Menteri Kewangan semalam mengumumkan kerajaan bersetuju menawarkan kredit e-tunai RM100 kepada semua rakyat dewasa Malaysia yang berpendapatan RM100,000 setahun dan ke bawah.
Bilangan penerima yang layak dianggarkan melebihi 10 juta orang yang merangkumi golongan B40 dan M40 dengan dana sekitar RM1 bilion.
Mengulas lanjut Ahmad Maslan berkata, inisiatif pemberian kredit e-tunai itu diharapkan dapat membantu meningkatkan aktiviti ekonomi setempat selain bertujuan untuk mendidik rakyat mengenai ekonomi digitalisasi dan memupuk budaya masyarakat tanpa tunai.
Dalam pada itu beliau berkata Kementerian Kewangan juga bersedia untuk melaksana segera pemberian e-tunai tersebut dan bantuan khas penghargaan RM300 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah serta bantuan RM200 kepada pesara kerajaan seperti yang diumumkan Perdana Menteri hari ini.