Bisnes

Syarikat gergasi Arab Saudi nyata minat melabur lebih AS$10 bilion di Malaysia

Syarikat gergasi tenaga boleh baharu (TBB) berpangkalan di Arab Saudi, ACWA Power menyatakan minat untuk mengadakan pelaburan bernilai hampir RM50 bilion di Malaysia.

Pengerusi syarikat, Mohammad A Abunayyan menyatakan perkara itu selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di luar mesyuarat khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di Riyadh pada Isnin.

Antara dicadangkan melalui pelaburan dalam tempoh 10 tahun itu termasuk projek menerusi kerjasama dengan syarikat tempatan, Cypark Resources Bhd.

“ACWA Power adalah antara syarikat TBB terbesar dunia yang berminat untuk melabur di Malaysia, melaksanakan pemindahan teknologi dan berkongsi kepakaran untuk taman perindustrian di Jasin, Melaka dan Kerian, Perak melibatkan penjanaan pusat data hijau,” kata Pengerusi Eksekutif Cypark Resources, Datuk Ami Moris dipetik laporan media.

Selain Ami Moris, turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta pengurusan tertinggi Cypark Resources dan Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Jakel.

Mohamed Faroz sementara itu berkata, Jakel Capital selaku pemegang saham utama Cypark Resources, turut terlibat dalam projek TBB berkenaan.

BACA LAGI: Golongan muda, syarikat tempatan digalakkan menceburi sektor tenaga boleh baharu

“Kami di Riyadh untuk berbincang mengenai kerjasama ini dan Jakel juga memiliki beberapa tanah yang boleh dijadikan ladang solar untuk membekal tenaga,” katanya.

Difahamkan, kerjasama dalam TBB itu kini dalam peringkat perbincangan akhir dan dijangka dapat dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini.

Related Articles

Back to top button